;; Pujian para ulama terhadap kitab Ihya'

Posted in Selasa, 12 April 2011
by Unknown



Imam Nawawi berkata, "Jika kitab-kitab Islam hilang (nauzubillah) dan yg kekal hanya Ihya', sesungguhnya ia akan menampung apa yg hilang."

Imam Abdullah Al-'Idrus berkata, "Aku duduk bertahun-tahun menelaah kitab Ihya' , setiap fasal dan huruf daripadanya. Dan aku ulanginya dan menghayatinya. Maka zahir kepadaku daripada perbuatan itu akan ilmu-ilmu, rahsia-rahsia dan kefahaman-kefahaman yg melimpah pada setiap hari berbeza dengan apa yg aku dapat pada hari sebelumnya."
Beliau juga mengatakan Imam Ghazali telah mensyarahkan manhaj Al-Quran dan As-Sunnah dalam kitabnya yg hebat yg digelar, أعجوبة الزمان (Keajaiban Zaman) Ihya'Ulumiddin.

Anak beliau pula, Syeikh Abdul Qadir Al-'Idrus, pengarang kitab Takrif Al-Ahya' bi Fadhlil Ihya' memuji Imam Ghazali dan karyanya Ihya' dengan pujian yg amat baik.

Imam Muhammad bin Yahya berkata, "Al-Ghazali ialah Syafie yg kedua."

:: Penyalinan, Syarah dan Talkhis kepada kitab Ihya'

Penyalinan, Syarah dan talkhis para ulama terhadap kitab Ihya' juga dianggap satu pembelaan secara tidak langsung kepada kitab Ihya'. Juga dianggap satu pujian yg lebih bermakna berbanding pujian biasa. Ini jelas menunjukkan kehebatan kitab Ihya'. Orang yg mengkritiknya setelah proses-proses saringan yg dialaminya merupakan orang yg tidak tahu menilai.

:: Penyalinan kitab Ihya'

Kitab Ihya' dianggap kitab yg paling hebat yg merangkumkan pelbagai jenis ilmu. Penyalinan kitab Ihya' secara tulisan tangan sebagaimana yg disebut oleh Doktor Badawi, pengarang kitab Muallafat Al-Ghazali(Karya-karya Al-Ghazali) ialah hampir 120 salinan (makhtutot) yg terdapat di perpustakaan-perpustakaan dunia seperti di Darul Kutub Al-Misriyyah, Al-Azhar, Paris, Istanbul, Algeria, Tehran dan banyak lagi. Dan telah dicetak dengan banyaknya di Kaherah, Tehran dan Istanbul.

:: Kitab yg mensyarah kitab Ihya'

* Ithaf Sadat Al-Muttaqin bi Syarhi Asrar Ihya' Ulumiddin karangan Imam As-Sayyid Al-Murtadha Az-Zabidi. Kitab yg amat besar.
* Takrif Al-Ahya' bi Fadhlil Ihya' karangan Syeikh Abdul Qadir Al-'Idrus. Biasanya dicetak bersama kitab Ihya'.
* Tashyid Al-Arkan fi Laisa fil Imkan Abda' mimma Kan karangan Imam Jalaluddin As-Suyuti. Kitab ini masih belum dicetak dan masih kekal sebagai makhtutoh(tulisan tangan)

:: Talkhis (Ringkasan) kitab Ihya'

Terdapat 26 buah kitab Talkhis terhadap Ihya' dalam bahasa Arab sehingga tahun 1988. Sehingga sekarang saya tak tahu jika ada usaha yg dilakukan untuk mentalkhiskan kitab Ihya'. Tapi kawan saya menyebut ada sebuah kitab di Maktabah Darus Salam yg berjudul lebih kurang bunyinya Ihya' Ulumiddin Kurun ke-21. Saya akan memastikannya semula dan meletakkan maklumat mengenainya di nota kaki.

Sebahagian Talkhis ini masih kekal sebagai makhtutot di perpustakaan-perpustakaan dunia seperti di Kaherah, Berlin, Peshawar, Tunisia, Tehran, Istanbul, Az-Zahiriah di Damsyik, Paris, Iraq dan lain-lain.

Antara Talkhis-talkhis kitab Ihya':

* Lubab Ihya' Ulumiddin. Talkhis paling awal yg dilakukan sendiri oleh saudara Imam Ghazali, Imam Ahmad bin Muhammad Al-Ghazali. (wafat 521H)
* Minhajul Qosidin karangan Imam Ibnul Jauzi. Ditulis pada akhir kurun ke-6 Hijrah. Ini jelas menunjukkan kritikan Ibnul Jauzi terhadap Ihya' dalam kitab-kitab beliau semata untuk memberikan mutu yg sebenar kepada Ihya'.
* Mukhtasar Ulumiddin. Karangan Abu Abdillah Syamsuddin Muhammad bin Jaafar yg dikenali dengan Al-Bilali. Beliau juga ada mengarang kitab lain iaitu, Mukhtasar Al-Ihya'.

:: Penterjemahan kitab Ihya' ke dalam bahasa lain

Kehebatan dan kepentingan kitab ini telah memaksa berlakunya usaha penterjemahannya ke dalam bahasa lain. Ihya' telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Jerman, Bahasa Parsi, Bahasa Sepanyol, Bahasa Urdu dan Bahasa Turki. Menurut kawan saya, Ihya' juga telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu Indonesia.

Yang menariknya, kitab Ihya' tidak pernah diterjemahkan ke dalam Bahasa Hebrew (Bahasa Yahudi) sedangkan kitab-kitab Imam Ghazali yg lain ada diterjemahkan ke dalam Bahasa Hebrew.

Sehingga sekarang, Masjid Al-Azhar menghidangkan pengajian kitab Ihya' Ulumiddin pada setiap hari Ahad, selepas solat asar. Tenaga pengajar ialah guru yg kukasihi, Al-Allamah As-Syeikh Ahmad Al-Hajin, salah seorang murid kepada Mufti Negara Mesir sekarang, Al-Allamah As-Syeikh Ali Jum'ah.

جعله الله خالصا لوجهه الكريم ووسيلة إلى النعيم المقيم