HAKIKAT MUHAMMAD KEDUDUKANNYA DALAM TASAWWUF (BAG 3)

Posted in Rabu, 01 Juni 2011
by Radheeta

5. Hakikat Muhammad dan Islam

Perbincangan setakat ini jelas menunjukkan betapa kritikal, ketara dan perlunya pendzahiran Muhammmad s.a.w dalam menegakkan yang benar tehadap Pencipta dan penciptaan dan peranan penciptaan terhadap Penciptanya. Pengetahuan yang dapat menyedarkan kemanusiaan terhadap kebenaran dan Al-Haq.

Segala kejadian agar Penciptanya dapat dikenali, lantas beribadah kepada NYA. Suatu peringatan yang hakiki. Kesemua ini tidak lain adalah peringatan terhadap kehambaan sejagat kepada Penciptanya dan hukum disebalik pengabdian ini yang dinamakan Islam. Justeru, tidak boleh Al-Quran tanpa sunnah baginda, tidak sempurna syahadah tanpa kerasulan baginda. Melalui Muhammad, Allah dapat dikenali.

Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh serta beriman kepada yang diturunkan kepada Muhammad (s.a.w) - yang ialah kebenaran dari Tuhan mereka, - Allah mengampunkan dosa-dosa mereka, dan menjayakan keadaan mereka.(Surah 47:2)

Uniknya isu ini ialah, titik tolak kesahihan pendirian ini, semuanya terletak pada pundak Muhammad s.a.w. Kebenaran Al-Quran itu sendiri terletak di atas penerimaan terhadap baginda dan kesahihan sunnah baginda bergantung kepada penerimaan kewibawaan baginda oleh sekelian manusia dan jin. Jadi, dimanakah duduknya kebenaran dan apakah buktinya yang mengatakan apa yang dibawa dan apa yang ditunjukkan oleh Muhammad s.a.w itu adalah benar? Al-Quran dan sunnah tidak dapat dijadikan bukti pada kontek ini kerana Al-Quran, sunnah dan Muhammad s.a.w sendiri sedang dipersoalkan. Bahan bukti bagi kontek ini hendaklah suatu bahan bukti luaran dari isu persoalan. Maka perlu suatu bukti atau kenyataan lain yang tidak ada kesangsian terhadap keutuhan dan kebenarannya yang perlu dikaitkan untuk menilai kesahihan Al-Quran, sunnah dan Muhammad s.a.w.

Ini penting kerana semasa kedatangan Islam melalui Muhammad s.a.w, ia adalah sesuatu yang asing dan baru berbanding dengan apa yang ada sebelumnya. Jadi, manusia yang meraba-raba mencari kebenaran pada masa itu cuma dapat menilai Islam dan Muhammad s.a.w berdasarkan apa yang ada pada mereka.

Keadaan ini tidak banyak berubah dengan masa kini dimana mereka yang tidak dapat menerima Islam atau berfaham Islam sebagai Mohammadan religion adalah kerana mereka tidak dapat menilai Islam dengan suatu bahan bukti atau kenyataan yang utuh kebenarannya pada sudut pandangan mereka.

Pun bagitu, tidak semestinya bukti itu tidak ada, mungkin pandangan mereka adalah terlalu dekat, remeh, cetek ataupun terlalu kecil dan halus untuk nampak yang lebih mendalam atau yang lebih luas lagi nyata, besar dan tepat kebuktiannya.

Sebaliknya juga, mereka yang menerima Islam, Al-Quran, sunnah dan Muhammad s.a.w tanpa menerima hakikat bahawa disebalik kebenaran ini ada kebenaran yang lebih awal yang membenarkan Islam, Al-Quran, sunnah dan Muhammad s.a.w akan mengongkong sekop pandangan mereka sendiri daripada sekop realiti yang lebih nyata, luas, besar dan tepat kebenarannya.

Dari segi hakikat, tidak boleh dikatakan hanya manusia dan jin sahaja yang beribadah kepada Allah s.w.t, malah kesemua langit dan bumi dan apa di dalamnya dan apa yang melebihinya beribadah kepadaNya. Semua tunduk dan berserah, ringkas Islam dengan keIslaman masing-masing.

Patutkah sesudah itu, mereka mencari lain dari deen Allah? Padahal kepadaNyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepadaNya lah mereka dikembalikan.(Surah 3:83)

Kita sedia maklum bahawa Deen atau Cara Hidup ini sebagai Islam. Manusia dan jin tidak terkecuali dari syariat ini, sedar atau tidak, dengan sukarela ataupun paksa. Secara sukarela, kita menerima Islam sebagai ugama kita, sementara beribu dan jutaan yang lain tidak menerima Islam sebagai ugama mereka.

Secara paksa, kita TERPAKSA bernafas demi hidup dan menerima hakikat bahawa Ar-Rahman telahpun menjadikan kita sebagai manusia untuk beribadah kepada NYA. Maka cuba kita tidak tunduk taat kepada hukum Ar-Rahman dengan tidak mahu bernafas ... berapa lama? Bukankah ini Cara Hidup atau Deen? Tidakkah yang beribu dan jutaan yang tidak menerima Islam sebagai ugama mereka juga TERPAKSA tunduk dan taat kepada DEEN Allah dengan terpaksa bernafas untuk hidup?

Walaupun secara sedar mereka ini leka daripada hakikat bahawa mereka telahpun dijadikan oleh Allah dan sedang tunduk dengan hukum Allah s.w.t untuk hidup dengan terus bernafas. Justeru kufur itu bukanlah mereka ini bukannya dalam Islam, cuma tidak MENGAKUI bahawa mereka itu dalam Islam. Wallahu a'lam. Patutkah sesudah itu, mereka mencari lain dari deen Allah?Bagitu juga makhluk-makhluk yang lainnya berhubung dengan kejadian mereka dan keperluan mereka beribadah.

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal; (Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka. (Surah 3:190-191)

Dan matahari; ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya; itu adalah takdir Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui; Dan bulan pula Kami takdirkan dia beredar melalui beberapa peringkat, sehingga di akhir peredarannya kelihatan kembalinya pula ke peringkat awalnya - seperti tandan yang kering. Matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing. (Surah Yaasin:38-40)

Diriwayatkan oleh Abu Dhar:

Rasullullah s.a.w bertanya kepadaku pada matahari menjunam, "Adakah engkau tahu kemana matahari pergi?" Aku menjawab, "Allah dan Rasulnya yang lebih mengetahui." Baginda berkata, "Ia pergi sehingga ia sujud dibawah Kursi dan mengambil kebenaran untuk naik semula, dan ia dibenarkan; dan kemudian apabila ia sedang hendak sujud semula, sujudnya tidak diterima, dan ia akan memohon untuk naik semula mengikut peredarannya tetapi ia tidak akan dibenarkan, tetapi akan diarahkan untuk naik dari mana ia turun dan ia akan naik dari Barat. Dan ini adalah tafsir bagi kenyataan Allah : "Dan matahari; ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya; itu adalah takdir Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui" (Surah 36.38)

Sahih Bukhari: Jld. 4, Bk. 54, No. 421

Pada peredaran matahari dan bulan dan silih bergantinya malam dan siang dari sudut tasawwuf bukanlah ilmu alam maupun geografi ataupun astronomi akan tetapi ketetapan Tuhan, hukum Tuhan. Manusia cuma baru sedar bahawa matahari dan bulan itu mempunyai 'orbital'nya apabila Tuhan menjelaskannya dalam surah Yaasin kurang lebih 1400 tahun dahulu. Secara saintifik, baru kurang lebih 400 tahun melalui Galileo. Pun bagitu bulan dan matahari bukan baru menjelajahi orbital masing-masing setakat 1400 tahun yang lalu, atau setelah turunnya Surah Yaasin, malah lebih awal dari itu. Pada masa dan ketika Allah s.w.t mensyariatkan hukum berkenaan terhadap matahari dan bulan. Padahal kepadaNyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, ....(Surah 3:83)

Seterusnya, bilakah Syariat Islam mula berkuatkuasa? Dari segi tasawwuf, syariat Islam bukan mula dikuatkuasa semasa Muhammad s.a.w menerima wahyu baginda, memandangkan baginda adalah Rasul yang terakhir diutuskan. Adakah mungkin syariat Islam mula dikuatkuasakan semasa Adam a.s diutuskan kedunia, memandangkan baginda adalah yang pertama di antara para-para Rasul? Mungkin juga tidak, memandangkan semasa Adam a.s. diutuskan di dunia, dunia telahpun 'ada' dan bagitu juga matahari dan bulan. Pada masa Adam a.s. diutuskan sebagai khalifah dimuka bumi, matahari dan bulan telahpun mengikuti peredaran masing-masing dalam melaksanakan ketetapan yang di syariatkan oleh Allah s.w.t. terhadap mereka.

Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi; dan apabila Ia berkehendak (untuk menjadikan) suatu, maka Ia hanya berfirman kepadanya: "Jadilah!" Lalu menjadilah ia. (Surah 3:117)

Semestinya, segala hukum langit dan bumi dan apa yang ada di antara nya dan melebihinya, mula dikuatkuasa apabila Tuhan berfirman, "KUN". Hakikat ini jelas terpancar disegenap pelusuk alam semesta, dan akan terus terpancar hingga ke akhirat, sehingga di syurga dan neraka. Hukum yang TETAP lagi dinamik secara temporal. Allah s.w.t menerangkan:

Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja; dan Ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab yang terang nyata.(surah 80:59). dan seterusnya;

bahkan ialah Al-Quranul Majid; pada Lauh Mahfuz.(Surah 85:21-22)

Tegasnya hukum Allah s.w.t terhadap segala kejadian dan segala sesuatu itu ialah Islam, yang tertulis pada Al-Quranul Majid di Luh Mahfuz. Hukum ini diturunkan melalui Muhammad s.a.w kepada kemanusian agar manusia dan jin dapat mengenal dan tahu. Perlakuannya dalam bentuk kemanusiaan adalah melalui perlakuan Muhammad s.a.w yang dikenali sebagai sunnah. Apa yang dituturkan, ditegur, dibantah dan didiam, dilakukan, dielak, ditegah dan digalak adalah sunnah. Justeru, perlaksanaan Islam yang terkandung pada Al-Quran itu terpancar dalam bentuk kemanusiaan pada diri Rasullulah s.a.w agar manusia dan jin dapat mencontohi. Kesemua ini adalah benar, 'disalin' daripada apa yang telah tertulis di Lauh Mahfuz. Mustahil Al-Quran itu bersifat baharu. Tegasnya, segala yang datang MELALUI dan DARIPADA baginda, baik wahyu, maupun sunnah, adalah terjemahan SHARIAH ini dalam bentuk kemanusiaan.

Pada masa yang sama, perlakuan alam semesta ini adalah perlakuan dari hukum ini juga, iaitu Islam yang terkandung pada Al-Quran. Rujukan dalam Al-Quran amat banyak sekali yang membentangkan hukum-hukum berhubung dengan fitrah alam semesta ini. Malah ia merengkumi dan melebihi alam fana ini hingga menjangkau ke alam baqa. Ini menunjukkan bahawa hukum yang dinamakan Islam itu sebenarnya menjangkau lebih dari bukti kenyataan alam yang terupaya ditelah oleh kemanusiaan. Ini membuktikan superiority dan tahap kesempurnaan yang melampau. Islam bukan saja 'natural', malah 'super-natural', bukan saja 'physical' malah 'metaphysical'. Kedua-dua aspek terhad dan tidak terhad ini, pada kontek Islam bukanlah suatu percangahan malah perkembangan melebihi kemampuan kemanusiaan dan melebihi kemampuan sebarang makhluk. Semestinya ia mutlak.

Sebaliknya, kajian ilmiah dan saintifik terhadap alam semula jadi oleh kemanusiaan, mendapati bahawa hasil penemuan dan pencapaian mereka tidak bercanggah tetapi mengesahkan terhadap apa yang telah lama dijelaskan dalam Al-Quranul Majid. Penemuan-penemuan baru akan terus dicapai dan dengan tiap-tiap penemuan itu akan mengukuhkan lagi kesahihan apa yang telah di sampaikan oleh Muhammad s.a.w 1400 tahun dahulu. Antara contoh yang paling unik ialah apabila Neil Armstrong mendarat di bulan. Satu cermin pantulan laser telah diletakkan di sana untuk mengukur jarak di antara bulan dan bumi. Hasil dari kajian ini menunjukkan bahawa pusingan bulan mengikut orbitalnya adalah lewat banyak 1/1,000 saat sehari. Kelewatan ini menunjukkan bahawa, sementara kadar kelajuan putaran bulan itu tidak berubah, jarak orbital bulan dengan bumi itu yang kian berkembang. Implikasinya ialah alam semesta ini sebenarnya sedang mengembang, dan mencadangkan bahawa kejadian alam semesta ini pada asalnya adalah dari satu. Ini membenarkan ayat Al-Quran yang Allah menjadikan alam ini dari satu.

Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman? (Surah 21:30)

Banyak lagi penemuan-penemuan sains ilmiah mengukuhkan kebenaran Al-Quran, dalam bidang kosmology, fizik, kimia, biology dan anatomy, geology, ecology, sosiology, ekonomi dan sebagainya. Nyata dan ketara bahawa alam sejagat yang terpampang dihadapan kemanusiaan adalah bukti terhadap kebenaran yang dibawa oleh Muhammad s.a.w. dan bukti terhadap kebenaran Muhammad s.a.w. sendiri. Hakikat yang membenarkan Muhammad s.a.w dan apa yang dibawa oleh Muhammad s.a.w. Maka, alam semesta ini secara totaliti dikenali dan diistilahkan sebagai Hakikati Al-Muhammadiah, justeru bukanlah suatu perkara yang baru ataupun dibuat-buat.

Pada kemanusian, perlakuan basyar Muhammad s.a.w dikenali sebagai sunnah. Mustahil pula Nur Muhammad boleh datang kemudian jika semua kejadian bermula darinya. Maka pada alam sejagat pula, perlakuan Nur Muhammad s.a.w dikenali sebagai 'sunnah hakiki' atau lebih tepat diistilahkan sebagai fitrah. Masing-masing terlaksana dari sumber hukum yang sama iaitu Islam yang terkandung pada Al-Quranul Majid yang terjamin kandungannya pada Luh Mahfuz. Pendek kata atau senang kata atau ringkas kata, dari sudut pendapat tasawwuf, apabila Allah s.w.t berkehendak akan sesuatu firmanNya ialah "Kun" dan perlaksanaan oleh Nur ialah "fayakun". al-Zarqani dalam Sharh al-mawahib (3:171) berkata: "Baginda dinamakan lampu kerana daripada satu lampu mengambilnya banyak lampu, dan cahayanya tidak berkurangan langsung."

Sementara Muhammad s.a.w didzahirkan sebagai kemuncak peringatan, pendzahiran baginda juga adalah kemuncak kejadian alam semesta ini. Tetap baginda adalah sebahagian daripada pendzahiran alam semesta, justeru fitrah dan daripada Nur Muhammad s.a.w. Dimanakah lebih sempurna dan terserlahnya Nur Muhamad s.a.w jika tidak pada basyar Muhammad s.a.w sendiri? Mustahil boleh ada seorang nabi mengantikan Muhammad s.a.w.

"Sesungguhnya telah datang kepada kamu Nur dari Allah, dan Kitab yang nyata" (Qur’an 5:15).

Atas dasar ini mungkin pendapat al-Qari dalam Sharh al-shifa' (1:505, edisi Mecca) adalah yang paling tepat iaitu: " Ia telah dikatakan bahawa Cahaya dan Kitab adalah kedua-duanya dimaksudkan kepada Muhammad s.a.w kerana baginda bukan saja suatu cahaya yang amat sangat dan juga adalah sumber semua cahaya, malah baginda juga adalah sebuah kitab yang mengumpulkan dan yang menjelaskan semua rahsia."(ie, Nur dan basyar) Wallahu a'lam.

Pun bagitu, tidak pula meluput atau terhapus Nur Muhammad dengan wafatnya baginda, malah lebih sempurna. Ini adalah kerana perlakuan alam telah, sedang dan akan berterusan sehingga ke akhirat. Bagitu juga Nur yang membentuk fitrah itu.

Dan tidak akan hilang lenyap dari pengetahuan Tuhanmu sesuatu dari sehalus-halus atau seringan-ringan yang ada di bumi atau di langit, dan tidak ada yang lebih kecil dari itu dan tidak ada yang lebih besar, melainkan semuanya tertulis di dalam Kitab yang terang nyata. (Surah 10:61)

Jelas bahawa semuanya telahpun ditetapkan. Muhammad s.a.w diutuskan, adalah sebahagian daripada perlaksanaan ini dan untuk membuktikan kesahihan kejadian segala yang dilangit dan dibumi, baik di awal, yang sementara maupun akhirat. Sebaliknya bagi mereka yang sangsi terhadap Muhammad s.a.w. maka alam semesta yang terpampang didepan mata adalah bukti yang paling kukuh terhadap kenyataan baginda.

Hakikat Muhammad mempunyai asas yang teguh dalam Islam dan memperkukuhkan institusi Islam itu dengan lebih baik, konrit dan jelas berbanding dengan tidak. Tegasnya, Islam itu memang universal, dan dapat dibuktikan secara kukuh dan bukan cuma laungan kosong. Mungkin "The Big Bang Theory" cuma dapat di buktikan pada akhir 1970'an akan tetapi muslim seharusnya telah mempunyai satu pengkajian yang lebih ilmiah berhubung dengan tiori-tiori kosmologi memandangkan muslim sepatutnya telah menerima dan mengembang hukum Islam berhubung dengan pengkajian kosmologi dan pembentukan alam semesta sejak seribu tahun yang lalu.

Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi, dan supaya menjadilah ia dari orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin.

Maka ketika ia berada pada waktu malam yang gelap, ia melihat sebuah bintang, lalu ia berkata: "Inikah Tuhanku?" Kemudian apabila bintang itu terbenam, ia berkata pula: "Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang".

Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit, dia berkata: "Inikah Tuhanku?" Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: "Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku dari kaum yang sesat".
Kemudian apabila dia melihat matahari sedang terbit, berkatalah dia: "Inikah Tuhanku? Ini lebih besar". Setelah matahari terbenam, dia berkata pula: " Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu sekutukan.

Sesungguhnya aku menghadapkan muka dan diriku kepada Yang menjadikan langit dan bumi, seang aku tetap (pada dasar tauhid), dan bukanlah aku terdiri dari orang yang musyrik".
(Surah 6:75-79)

Bukankah ini satu kesaksian di antara Ibrahim a.s. dengan Allah s.w.t yang kita bawa pada peribadahan kita sekurang-kurangnya 5 kali setiap hari?